Oh Tuhanku,
Dalam termanggu kusebut namaMu,
Biar susah sungguh mengingatMu penuh seluruh,
CahayaMu yang panas suci bagai kerdip lilin di kelam sunyi,
Untukku yang hilang bentuk dalam kembara di negeri asing.
Oh Tuhanku,
Aku yang masih di perjalanan hidup ini,
Begitu lama berlegar di persimpangan dunia,
Begitu jauh mengembara ke serata dunia,
Menempuh jarak dan titian,
Kota, rimba, benua dan lautan,
Mencari sesuatu yang abadi,
Mencari suatu makna kebebasan,Mencari satu kedamaian.
Oh Tuhanku,
PintuMu kuketuk,
Agar Engkau lindungilah hambaMu yang hina ini,
Agar Engkau berikan petunjuk perjalanan hidupku ini,
Aku janji setia hanya kepadaMu,
KeranaMu aku hidup,
KepadaMu sahaja kukembali,
Ya Allah Ya Tuhanku.
Sajak ilham drp. bait & frasa lagu-lagu puisi Ramli Sarip
&
Allahyarham *Zubir Ali (al-fatihah 1x)
*pejuang sastera dan penyambung generasi puisi dengan tunjang mesejnya adalah ketuhanan, kemanusiaan mahupun keamanan sejagat. Frasa dan rangkap ciptaannya menjadi lebih terkesan dalam ingatan ramai lantaran terjalin enak dengan melodi. Komposer dan penyanyi ini berjaya mempertemukan elegan bahasa dengan keindahan gubahan muzik. Maka dia sentiasa ‘hidup’ (diingati) dalam setiap rangkap puisi ciptaan dan dendangannya.
No comments:
Post a Comment
Comment as you like... Tulislah seikhlas hatimu!