10 June 2010

ISA Tercedera Menjelang 'Kick-off' World Cup 2010




Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus di Mahkamah Tinggi di Putrajaya memerintahkan agar RM3.3 juta dibayar kepada bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan bersetuju dengan plaintif, Badrul Zaman P.S. Mohamed (gambar kanan) bahawa penahanan yang dilanjutkan ke atas beliau di bawah ISA pada tahun 1994, adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan atas alasan tidak ada pematuhan dengan peruntukan ISA. Beliau telah ditahan atas tuduhan terbabit dengan pengeluaran permit dan pasport palsu kepada pekerja asing. Beliau berkata beliau gembira dengan keputusan itu setelah menunggu hampir 16 tahun untuk mendapatkan keadilan bagi membersihkan reputasinya. Beliau diwakili oleh peguam M. Manoharan.

Pada 1994, Badrul Zaman memfailkan satu writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan mahkamah berkenaan membenarkan permohonannya dan membebaskannya. Badrul Zaman memfailkan saman pada 30 November 1994, dengan menamakan Superitenden Pusat Tahanan ISA di Kamunting sebagai defendan pertama, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia. Beliau mencabar perintah tempoh lanjutan penahanan itu yang dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk tempoh dua tahun lagi berkuatkuasa 14 September 1993. Plaintif mencabar kesahihan di mana beliau hanya menjalani tahanan itu dengan arahan perintah tahanan tanpa kenyataan bertulis perintah tahanan
tersebut dan fakta dakwaan berdasarkan perintah tahanan berkenaan. Dalam saman itu, plaintif menyatakan bahawa beliau tidak mencabar kesahihan perintah penahanan pertama mengikut Seksyen 8(1) ISA pada 12 September 1991 di mana beliau ditahan selama dua tahun.

Mohd Hishamudin dalam penghakimannya berkata mahkamah telah mempertimbangkan kos kecederaan terhadap reputasi plaintif dengan memerintahkan untuk membayar tuntutan ganti rugi am dan teladan dengan kos kepada beliau. Beliau berkata setelah membaca dengan teliti autoriti itu, satu gantirugi sebanyak RM20,00 sehari adalah adil dan saksama untuk dibayar kepadanya dengan mengambilkira fakta plaintif yang dialami semasa dalam tahanan. Katanya dengan mengambilkira 300 hari dalam tahanan, plaintif hendaklah dibayar RM6 juta, bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk memberikan diskaun 50 peratus kepada defendan yang mahkamah fikirkan adalah adil dan munasabah.

Mohd Hishamudin yang kini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, juga memerintahkan agar gantirugi teladan RM300,000 diberikan atas dua alasan, pertama kerana penahanan menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan, kedua perintah penahanan terhadap plaintif dilanjutkan selepas pencegahan penahanan pada awalnya selama dua tahun. Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Isnan Ishak berkata beliau akan merujuk keputusan ini kepada Pejabat Peguam Negara sebelum memfailkan rayuan.

Sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment

Comment as you like... Tulislah seikhlas hatimu!