16 October 2009

Basmi Kemiskinan - Mulakan dengan jiran kita



Setengah kita dirundung malang kemiskinan sejak mengenal dunia lagi. Ada yang jatuh miskin kerana hutang lalu diistihar muflis (bankrap) dan dirampas segala harta bendanya. Ada yang terpaksa memulakan era hidup baharu akibat kerugian perniagaan, kehilangan pendapatan, pekerjaan dan sebagainya. Tidak semua kita sentiasa bernasib baik mengecapi keselesaan hidup sehingga ada hanya mampu berangan-angan tentang kemewahan hidup. Jika diusahakan dan ditakdirkan pula seseorang pengemis hari ini mungkin sahaja menjadi seorang jutawan dalam sekelip mata atau dalam tempoh yang tertentu. Tiada yang mustahil. Cuma dalam mereka yang memerlukan sedikit bantuan bagi menempuh hidup berliku, menyedihkan dan memeritkan itu, haruskah kita pula tidak  berbuat apa-apa ydengan maksud membantu menyelesaikan atau sekurang-kurangnya meringankan beban tersebut. Haruskah kita bersikap berlepas tangan mengenai tanggungjawab sosial kita dalam soal kebajikan anggota masyarakat kita?

Jika diperhati visi Jabatan Kebajikan Masyarakat ialah "Masyarakat Sejahtera dan Penyayang" dan misinya ialah "Membangun Masyarakat Ke Arah Kesejahteraan". Apa pun objektif pihak badan-badan kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak individu pastilah visi dan misi mereka membantu golongan yang memerlukan khususnya dalam kebajikan kanak-kanak dan keluarga. Sasaran dan kaedah mungkin berbeza. Ada usaha membantu dan membangunkan anggota masyarakat berteraskan modaliti penjanaan modal insan. Ada membantu menyalurkan bantuan modal kewangan dan bimbingan perniagaan. 
Syarikat-syarikat badan kerajaan dan swasta iaitu korporat  tempatan dan multinasional, selain, ratusan ribu syarikat SME haruslah menyalurkan sedikit keuntungan mereka untuk merealisasikan objektif bersama membasmi kemiskinan.  Sumbangan dana kewangan dan bimbingan keusahawanan adalah antara jalan untuk membangunkan masyarakat. Begitu juga pihak yayasan dan badan pungutan zakat seperti Baitul-Mal negeri hendaklah menjiwai tugasan mulia untuk membasmi kemiskinan masyarakat tempatan sehingga mencapai sasaran sifar miskin.  Janganlah mereka tahu meminta orang ramai berzakat sedangkan mereka bersikap kikir menyalurkan bantuan kewangan segera kepada pihak yang terdesak khususnya orang miskin selain asnaf yang diiftiraf syariah.

Janganlah kita mengabaikan tanggungjawab kita yang satu ini hanya kerana kita sibuk berkerja, meniaga, atau mengurus hal peribadi seperti membesarkan lagi rumah tanpa keperluan mendesak, membeli set home-theater yang berharga puluhan ribu ringgit, handphone yang canggih dan mahal, bercuti ke luar negeri jika ia sebenarnya suatu pembaziran. Adalah lebih baik kita membelanjakannya dengan menolong jiran tetangga kita  yang  sangat-sangat memerlukan. Bukankah ia adalah tanggungjawab sosial kita, sehingga di akhirat kita akan ditanya dan dihisab amalan kita kepada jiran-jiran kita. Mengapakah kita hanya mementingkan diri sendiri? 
Jika anak-anak jiran kita kelaparan atau kesakitan sedangkan ibu bapa mereka mempunyai pekerjaan yang berpendapatan rendah, bukankah wajar kita membantu mereka? Tak usahlah kita bersikap sombong dan menunggu mereka mengemis simpati kepada kita. Kita sendirilah mengambil inisiatif untuk membantu mereka seikhlas hati kita dan memadailah sekadar kemampuan kita. Jika kita turut serta membantu insan malang seperti itu  kita sebenarnya telah melakukan suatu perbuatan yang mulia. Kita hendaklah menjadi agen masyarakat yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat madani yang saling menyayangi dan bantu-membantu sesama kita. Dengan itu kita menyumbang kepada kehidupan dunia yang bahagia lagi aman sentosa. Allah s.w.t akan menganjari khidmat bakti kita itu di dunia lagi sehingga akhirat. 
Mulai dengan meninjau keperluan adik beradik, jiran tetangga kita sehingga kita menjangkaui batasan geografi dengan membantu manusia sejagat di sekeliling dunia khususnya di negara-negara di benua Afrika yang miskin mahu pun  di Afghanistan atau Iraq yang dilanda perang.



 

No comments:

Post a Comment

Comment as you like... Tulislah seikhlas hatimu!