02 November 2009

Seminar? Boleh harap ker?



Atas kebijaksanaan pengamatan dan ketegasan Tok Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) supaya diadakan EGM, sebaliknya suatu mesyuarat khas PAS telah diadakan. Hikmahnya tetap besar kerana kemungkinan semua pemimpinnya tidak sedar dan masih menganggap tiada sebarang masalah dalaman berlaku. Ia juga menjadi suatu platform untuk lebih mendengar rintihan rakyat bawahan termasuk ahli PAS sendiri berhubung masalah persepsi masyarakat terhadap PAS yang memerlukan tindakan sewajarnya.
Jauh di sudut hati aku berasa Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) amat menghormati pandangan dan kedudukan TGNA sebagai Mursyidul ‘Am (MA). Maka itu beliau dengan pantas mengadakan mesyuarat khas tersebut. TGHH memahami di antara tugas MA ialah memantau perjalanan PAS, lalu MA berhak menegur dan memberikan pendapat beliau sekiranya diragui PAS telah tergelincir dari apa yang telah dipersetujui bersama di muktamar PAS mahu pun dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR).
Antara keputusan mesyuarat khas tersebut ialah akan diadakan suatu seminar politik peringkat kebangsaan pada 7 November 2009 di Markaz Tarbiyyah PAS Gombak, di mana dianggarkan 1000 orang perwakilan dari setiap kawasan seluruh negara akan turut hadir. Tetapi siapa perwakilan ini? Difahamkan semua ahli peringkat akar umbi akan menghantar lebih daripada seorang perwakilan dari setiap kawasan. Apakah kredibiliti mereka? Bagaimana intelektual mereka? Mampukah mereka memberi kesan efektif bagi memperbetulkan semula persepsi rakyat terhadap PAS dengan sebuah seminar yang lebih kepada sesi penerangan dan perbincangan ilmiah dan bukan untuk tindakan pemecatan atau rombakan pimpinan melalui EGM? Pendek kata, boleh diharapkah mereka ini?
Penjelasan pemimpin PAS atasan diharapkan akan tertumpu kepada persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh TGNA beberapa minggu ini iaitu berhubung persepsi rakyat terhadap arah tuju PAS dalam mencorak dimensi baru politik Malaysia. Janganlah hendaknya pemimpin PAS dengan secara sengaja atau halus memesongkan perjalanan seminar dengan menyelitkan beberapa tajuk isu yang yang tidak selari atau mencadangkan langkah-langkah yang tidak praktikal pula. Apa yang pasti, pemimpin tertentu, yang dilabelkan pro-UMNO dalam PAS, telah banyak menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS pastinya akan cemas dan merasa tidak selamat. Justeru, wajarlah diraikan lebih ramai cendekiawan seperti Professor Dr. Abdul Aziz Bari dan beberapa tokoh NGO yang bersikap neutral yang dapat hadir dan menyumbang buah fikiran untuk memperkasakan masa hadapan PAS.
Mungkinkah PAS Pusat akan menerima pakai idea PAS Selangor untuk turut sama menjemput beberapa wakil UMNO atau sekutunya daripada media massa dan elektronik seperti bloggers pro-UMNO? Walaupun ia mungkin merupakan satu bukti yang nyata mengenai sikap keterbukaan PAS dan kesediaan pimpinan PAS untuk ditegur serta kesediaan menerima pendapat umum tetapi biarlah ia bertempat. Jadikanlah seminar sebagai suatu tapak loncatan untuk memperkukuh PR. Musuh yang nyata seperti UMNO dan sekalian bloggers pro-UMNO sewajarlah kita tidak menjemput mereka ke rumah kita dan jika hadir sekalipun biarkan sahaja mereka menunggu berita di pintu pagar. InsyaAllah selamat.

p/s: hehe .. btw, all the best!



No comments:

Post a Comment

Comment as you like... Tulislah seikhlas hatimu!