29 May 2010

Isu Kalimah "Allah" : Biarkanlah Semua Orang Lain Guna atau Sebut "Allah" (dengan syarat)


Isu kalimah “Allah” bukan suatu masalah atau perkara baru dalam zaman ini. Ia sudah lama didebatkan dan diterima. Di Malaysia? Dengan pemikiran & kefahaman Islam oleh majoriti yang dibentuk oleh pemerintah (you know who) maka isu ini seperti menghina zat-zat Allah dan agama Allah sendiri? Pada pendapat penulis blog ini, simply, "Biarkanlah orang lain menggunakan atau menyebut kalimah “Allah”. Adakah maka ini aku tergolong orang yang menghina Allah, Islam atau sudah murtad sekarang? Please! Kita Islam (percaya, beriman & beramal) kepada Allah yang Esa seperti yang Rasulullah Muhammad s.a.w. bawa & ajarkan kepada awalin, tabien, solihin sehingga kini. Kita berbeza dengan apa syariat yang Nabi Isa a.s. bawa dan ajarkan pun. Itu pun jika masih wujud generasi pengikut Nabi Isa a.s. yang asli yang menurut Kitab Allah iaitu Injil yang asli? Sebab Kristian kini serata dunia memang berbeza dengan kita (& aku) dalam hal akidah Islam. Kita ada akidah kita sendiri. Kenapa boleh keliru? Tak cukup ilmu? Kita patut jelas dalam perkara ini dan bukan sahaja dalam hal solat, puasa tapi dalam banyak hal kehidupan. Islam adalah 1 sistem kehidupan, bukan?

Isu kontroversi ini tidak terjadi tanpa ada turutan cerita atau peristiwa. Sebenarnya, masyarakat Kristian di Sarawak sudah lama menggunakan kalimah “Allah” dalam upacara dan penerbitan mereka sejak zaman penjajahan. Jadi menyapa masyarakat Islam generasi kini membantah penggunaan kalimah “Allah” oleh pihak Kristian itu? Diamati sejarah (bukan surat khabar ya!), penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan Islam mencetuskan kontroversi selepas Kementerian Dalam Negeri menguatkuasakan keputusan Kabinet pada tahun 1986 yang melarang bukan Islam dari menggunakan beberapa perkataan Arab oleh warta Katolik (buletin berkala) "The Herald". Penerbit akhbar itu menang dalam kes mereka yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu, 2009, untuk menggunakan nama “Allah” sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris, tetapi ia mencetus kontroversi apabila beberapa rumah ibadat mereka pula diserang.  
  • Adakah sekiranya seseorang Muslim mengakui di dalam hatinya, memahami & menerima dengan hati terbuka membenarkan kalimah “Allah” digunakan oleh penganut agama lain adalah dihukum kafir, murtad?
  • Adalah penerimaan tersebut dikira sebagai 1 penghinaan kepada Allah, Rasul & Islam? Adakah nash & dalil daripada Al-Quran & dan hadith Rasulullah s.a.w. untuk menyokong pendapat tersebut?
  • Adakah majoriti orang Islam hanya beremosi dengan isu kalimah “Allah” hanya berdasar rasional akal & sentimen tanpa kekuatan bukti & fakta daripada sumber Islam sendiri?
  • Adakah pendirian sesiapa Muslim yang membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh orang-orang bukan Islam itu adalah bersalah, berdosa lagi menghina Islam? Apa bukti daripada sumber Al-Quran & hadith untuk menyangkal perbuatan tersebut?
Marilah umat Islam melihat fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia memperakui penciptaan dunia oleh Allah SWT. Kitab Allah, Al-Quran, telah menyarankan kepada semua kita cara yang betul menggunakan perkataan “Allah”, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: 
“Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)”   (Surah Ali `Imran(3):64).
“Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah…”                  (Al Quran, Az-Zumar (39):38).
Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana (hikmah) sebagaimana saranan Allah mengenainya
                                                                (Al Nahl: 125 dan Al Ankabut:46).

Jelas daripada maksud ayat-ayat di atas, “Allah” bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta. “Allah” dikongsi penggunaannya oleh orang-orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaan perkataan “Allah” oleh orang bukan Islam. Al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan Musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani pernah menggunakan perkataan “Allah” apabila mereka memaksudkan Tuhan pencipta semesta alam. 

Pendakwah bebas, Dr. Mohd Asri memberikan ulasan bahawa Islam secara dasarnya tidak menegah orang selain Islam untuk menyebut nama “Allah”. Katanya lagi, hal ini sudah dibincangkan secara menyeluruh di dalam Islam dan tiada wujud larangan dalam Islam untuk menghalang orang bukan Islam menyebut nama “Allah”, bahkan wujud berbagai dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut bahawa orang bukan Islam sejak dari dahulu lagi telah menggunakan atau menyebut kalimah “Allah” di dalam percakapan mereka. Tindakan untuk mengharamkan penggunaan kalimah “Allah” ini bagaikan telah mewujudkan satu situasi yang bertentangan dengan apa yang diperincikan oleh al-Quran, dan untuk membenarkannya seratus peratus pula barangkali akan menimbulkan satu kekeliruan serta membangkitkan satu keadaan yang boleh mencabar sensitiviti umat Islam. Sedangkan apa yang sepatutnya berlaku adalah perlu diwujudkan satu garis panduan dalam mewujudkan sesuatu yang selari dengan apa yang disuruh oleh agama.

Tegasnya lagi, perbezaan antara orang Islam dan kafir bukanlah isu nama tuhan, “Allah” yang digunakan oleh orang Kristian kerana ilmu aqidah yang ada pada umat Islam sepatutnya mampu membezakan “Allah” yang digunakan oleh umat Islam dan perbezaan “Allah” oleh orang Kristian.“Allah” pada orang Islam adalah berteras kepada tauhid dan syirik. Dan tiada sepatutnya timbul kekeliruan dalam beraqidah walaupun nama “Allah” dipakai oleh mana-mana pihak. Rujuk tulisan beliau.

Tetapi masih ramai memberi alasan bahawa sesiapa individu yang bersetuju penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan islam seperti telah sengaja meletakkan Islam setaraf dengan agama lain seperti Kristian. Ada yang takut keadaan yang bakal berlaku jika kita membenarkan mereka orang-orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” mereka akan lebih berjaya memurtadkan ramai orang Melayu-Islam. Ada yang cukup bimbang jika generasi yang akan datang keliru sehingga tidak dapat membezakan antara “Allah” kepada orang Islam dan “Allah” kepada orang-orang Kristian. Takut-takut jika generasi itu berdoa kepada “Allah Kristus supaya roh generasi terdahulu sejahtera di alam barzakh? Umum mengetahui bahawa UMNO kuat membantah penggunaan kalimah “Allah” oleh orang Kristian maka perlukah PAS mesti buat satu keputusan yang berlawanan dengan UMNO dalam hal tersebut? Adakah jika PAS berbeza pendapat dengan UMNO perbezaan itu akan menggadaikan akidah anak-anak bangsanya? Mereka ini tegas menyatakan isu kalimah “Allah” orang-orang Islam dengan ini boleh selesai jika semua orang-orang Melayu berdiri teguh di bawah Raja-Raja Melayu? Bukankah Tuanku-Tuanku Sultan dan Raja Melayu bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam?

Mereka berasa hairan kerana menyangka satu lagi pihak bersikap hipokrit, khususnya sesetengah golongan Melayu Islam dalam parti pembangkang) dalam hal ini dan tidak menyokong mufti dan sultan?. Alasan mereka dahulu di kalangan mereka dalam parti pembangkang ada yang bermati-matian menentang ‘ kumpulan artikel 11’ yang menaja IFC yang memperjuangkan 14 tuntuan, satu daripadanya ialah mendesak kerajaan agar orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

Kepada mereka ini isu penggunaan kalimah “Allah” ini telah dimaktubkan oleh pihak agama hanya untuk orang Islam sahaja di Malaysia ini. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 telah memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja. Raja-Raja Melayu sudah pun menjalankan tanggungjawabnya dan para Mufti 13 buah negeri yang berkhidmat membantu Raja-Raja Melayu memelihara kesucian Islam sudah pun berfatwa sejak tahun 2008 lagi: TIDAK BOLEH orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” yang agung ini.

Malah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah menyatakan bahawa sesiapa (orang Islam) merelakan Kristian menggunakan nama “Allah” dengan maksud yang membawa kepada syirik (konsep trinity Kristian) boleh menjadi kufur. Adakah ini menepati kehendak Islam atau ia hanya satu lagi arahan 'mengagamakan masyarakat Muslim' di negara kita hingga menutup ruang ijtihad dan seterusnya toleransi? Sila rujuk di sini untuk mengetahui perihal ulama kerajaan yang membentuk pola pemahaman agama Islam masyarakat sejak dahulu.

Pada pihak PAS pula sebagai parti Islam, mereka amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan. Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Ketika pimpinan Umno-BN mengecam penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan Islam, Pakatan Rakyat menunjukkan keterbukaan (atau kematangan atau umpan undi?) dengan menyeru kepada dialog antara cendekiawan agama. Ketegangan agama berakhir apabila Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim mengepalai usaha kepada perbahasan dengan menemui ketua-ketua masyarakat Kristian. Begitupun sejak keputusan itu dibuat, kelihatan para pemimpin PAS tidak seragam pandangan mereka dalam isu ini. Pandangan yang menjadi dasar PAS adalah datang dari enam peringkat tertinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am dan timbalannya, Presiden dan timbalannya, Setiausaha Agung serta Ketua Penerangan. 

Penggunaan kalimah “Allah” pada penerbitan Herald mengikut hukum pengamal agama Samawi tidak menjadi satu kesalahan pada hemat Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Cuma beliau bimbang perkataan “Allah” kemungkinan boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.
“Tinggal lagi… takut disalahgunakan. Itu yang menjadi kebimbangan,” kata beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan “Allah” oleh Herald.
PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat. PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam. Untuk butiran lanjut pandangan PAS utama sila rujuk di ini, sini  dan sana.  

Alasan & pandangan yang diberikan oleh kebanyakan Muslim, terutama politikus hanyalah berkisar rasional akal manusia. Tetapi dalam persoalan kewajaran atau tidak penggunaan kalimah “Allah” ini memerlukan kita, sebagai individu Muslim, agar lebih menekan kepentingan dari sudut akidah - seperti perkara tauhid dan syirik. Kita tidak boleh beremosi sehingga terasa terlalu sensitif untuk membicara isu ini secara ilmiah dan beradab. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.



2 comments:

  1. Allah itu tuhan sekalian alam, kristian juga mengaku bahawa tuhan mereka adalah allah, jahiliyah juga mengaku bahawa allah adalah tuhan sekalian alam, yahudi juga mengaku allah sebagai tuhan sekalian alam, melayu juga mengak bahawa allah adalah tuhan sekalian alam

    bagaimanapun tiada di dalam kitab2 mengatakan bangsa lain selain melayu islam tidak layak menggunakan perkataan allah.

    beberapa pengkaji menganut islam kerana perkataan allah yang di gunakan di dalm kitab bukan islam kerana dorongan untuk mengetahui siapakah allah lalu mengkaji pula al-quran nul karim.

    wallahualam, saya percaya tiada halangan untuk menggunakan nama Allah sebagai ganti nama kepada tuhan di dalm kitab kristian tetapi sebutan nya berbeza di dalam injil, al lah

    visit
    http://melodymockers.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Bukan kita Melayu-Islam (whoever we're in that respect) saja saja atau sengaja bersikap terbuka dalam hal penggunaan kalimah "Allah" oleh Kristian atau mana agama samawi. Ini telah terbukti dalam sejarah, tamadun & kekal menjadi manifestasi keterbukaan agama Islam dalam menyantun masyarakat sedunia sejak dari dahulu lagi. Inilah ajaran Islam yang sebenar yg mengkehendaki kita rujuk semula apa-2 jua perkara kpd Al-Quran & hadis Rasulullah s.a.w., bukan ikut emosi, keraguan, sentimen perkauman & agama yg sempit lagi bahaya, kpd diri, kaum sendiri & negara sendiri.

    ReplyDelete

Comment as you like... Tulislah seikhlas hatimu!