03 June 2010

Kerajaan Salah Urus Tadbir, Melayu Makin Susah


Kelemahan kerajaan pimpinan UMNO-BN mengurus tadbir perbendaharaan atau khazanah negara yang kaya raya dengan hasil mashulnya - minyak mentah (petroleum), tabungan simpanan rakyat yang tinggi - KWSP, Tabung Haji, unit amanah, dan sebagainya - akan hanya mengakibatkan rakyat yang berpendapatan rendah & sederhana, yang menyokong atau membencinya, menjadi mangsa & menderita. Pengalahgunaan perbendaharaan negara oleh pemimpin dan rakan korporat mereka dalam melakari pelan dan dasar kerajaan telah sekian lama berlaku & kesannya telah menyebabkan ketirisan wang rakyat, pembaziran & kerugian atau defisit dalam akaun kewangan negara. 

Persoalan mengenai negara akan bankrup jika kerajaan terus berbudi & kasihan rakyatnya sendiri dengan mengekalkan peruntukan subsidi dalam 10 tahun adalah alasan yang dangkal? Menyembunyi kelemahan & salahguna kewangan negara oleh pemimpin tertentu? Secara rasional, jumlah subsidi pasti dapat dikurangkan jika semua peruntukan subsidi atau perbelanjaan dasar kerajaan hanya disalurkan kepada golongan sasaran sahaja & mengecualikan sebarang keistimewaan kepada golongan mewah atau kaya-raya. Malangnya ia tidak berlaku. Si kaya terus kaya raya kerana mereka juga rakan baik yang sentiasa didahulukan projek jutaan RM daripada kerajaan atau digelar kroni pemimpin. Jika pun berlaku bencana atau kecacatan dalam pelaksanaan & pengurusan program kerajaan oleh rakan korporat mereka selalunya tauke-tauke ini akan 'terlepas' & seakan menikmati keistimewaan 'pengecualian' daripada sebarang hukuman atau denda undang-undang negara. Majoriti rakyat pula adalah masyarakat berkerja kelas bawah & sederhana yang terpaksa menanggung perit & seksa kehidupan harian dengan pelbagai cukai langsung & tidak langsung dengan pendapatan mereka.

Senator Datuk Dr. Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan, mengulas pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri, bahawa negara boleh bankrap jika pemberian subsidi kepada rakyat diteruskan. Beliau berkata, keadaan ekonomi negara tidaklah begitu teruk seperti yang digambarkan iaitu seolah-olah negara tidak mampu membayar hutang jika kerajaan berhasrat meneruskan pemberian subsidi. Malaysia tidak akan bankrap pada 2019 seperti Greece meskipun subsidi berjumlah RM74 bilion setahun diteruskan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, juga tidak bersetuju dengan pandangan Idris itu.
"Hakikatnya, langkah untuk memansuhkan subsidi ialah bagi mengurangkan kadar defisit negara serta membolehkan kedudukan kewangan negara lebih stabil.Negara tidak akan bankrap. Mana boleh bangkrap sekalipun subsidi diteruskan, tetapi dengan cara itu (mansuhkan subsidi) boleh mengurangkan beban hutang dalam negara yang ditanggung oleh semua rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Awang Adek berkata kerajaan telah akan mengambil langkah terbaik bagi meningkatkan ekonomi negara, termasuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing - termasuk perolehan daripada pemberian lesen & cukai skim judi bolasepak?

Contoh lain, UMNO kononnya wira orang Melayu, dengan alasan untuk memajukan Kampung Melayu, adalah sebenarnya berkompromi dengan rakan korporat mereka yang tamak haloba. Pemimpin UMNO sanggup berjuang untuk meraih kekayaan atas komisen atau "duit kopi" daripada rakan korporat mereka dalam usaha membuka pemilikan sebanyak 40% kepada bukan Melayu di  Kampung Baru tersebut - kawasan tradisi Melayu yang sepatutnya kekal 100 peratus milik orang Melayu tanpa kompromi dan tidak boleh dibuka kepada bangsa lain kerana ia satu-satunya aset Melayu-Islam di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Biar pun ia hanya cadangan daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Selama 110 tahun pemilik dan pewaris tanah telah mempertahankan Kampung Baru meski pun di kelilingi bangunan-bangunan pencakar langit di sekelilingnya.

Kelemahan kerajaan yang memerintah iaitu UMNO-BN selama hari ini untuk memajukan Kampung Melayu Kuala Lumpur sehingga menjadi sebuah kampung berciri Melayu yang lebih bermakna, moden, canggih dengan kemudahan kelas pertama adalah bukti UMNO hanya tahu mendabik dada kononnya merekalah jaguh pembela Melayu. Realitinya mereka hanya berebut 'memajukan' negara atau negeri hanya untuk tembolok mereka sendiri dengan dalam proses 'memajukan' tersebut mereka sanggup menggadai maruah Melayu, atau, memaksa secara halus pemilik tanah melepaskan pegangan kerana alasan 'pembangunan oleh kerajaan' & seterusnya membuka peluang bangsa lain membeli & memiliki tanah Melayu?. Satu lagi projek Barisan Nasional? Hakikatnya, cadangan seperti itu hanya menyerlahkan kegagalan kerajaan UMNO-BN memajukan mengikut acuan Melayu & mempertahankan status quo kampung itu.

Cadangan pembangunan sepatutnya menggariskan keperluan 100% pemilikan & warisan oleh Melayu pada masa hadapan. Pembangunan perlu mengekalkan ciri-ciri keMelayuan dengan pembangunan adalah seimbang antara pembangunan fizikal, mental dan spiritual. Pembangunan perlulah daripada dana khas daripada kerajaan atau penglibatan swasta Melayu sahaja. Ini akan memberikan keyakinan kepada pemilik dan pewaris dapat mengekalkan aset mereka.

No comments:

Post a Comment

Comment as you like... Tulislah seikhlas hatimu!